Air Mata
Semalaman aku duduk terpaku memikirkan tentang diri sendiri. Ada kalanya hati rasa begitu sayu.Ada saatnya terasa begitu hiba. Tidak semena, air mata mengalir. Manik-manik jernih mengalir laju membasahi pipku.
Aku sebenarnya baru sahaja membaca satu artikel yang ditulis oleh Murabbi yang sangat hormati, al-marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain (UDMZ). Kupasannya sangat menyentuh. Dan paling aku tersentuh adalah pada tajuknya." Titisan Air Mata Lantaran Dakwah Kehilangan Dai',".
Dunia Dakwah pada hari ini kehilangan dai yang berjiwa kental, berkemahuan tinggi dan berhati sufi. Medan ini benar-benar menguji sehingga ramai yang pernah menapak dalam semaian tarbiyah, hanyut dibawa oleh arus dunia yang ganas, deras dan dahsyat.
" Jahiliyah mencengkam jiwa-jiwa putera-puteri yang pernah kita didik sehingga mereka tewas,"Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang Ustaz.
" Jalan ini, jalan yang panjang. Tidak semua mampu bertahan dengan jalan ini." Kata seorang sahabatku. Aku mulai melihat diriku sendiri. Semakin hari semakin banyak ujian, cabaran dan mehnah yang hadir dalam kehidupan ini. Aku sedar dan tahu inilah sunnah kehidupan. Inilah warna-warni kehidupan yang perlu aku tempuhi.
" Anta perlu pelbagaikan warna dalam hidup enta. Kehidupan yang hanya dengan satu warna adalah kehidupan yang kosong dan hambar. Warna-warni kehidupan akan mengajar kita untuk lebih matang dan dewasa. Jangan takut untuk menghadapi kesusahan dan kepayahan.Ada masanya anta perlu susah dan merasai kegetiran. Dengan kesusahan inilah, jiwa anta akan lebih peka, halus dan sensitif."
Inilah nasihat daripada seorang murabbiku - Abu Umar. Kata-katanya sentiasa bermain-main difikiranku. Kata-kata jiwa untuk meningkatkan lagi syuur untuk terus bertapak pada jalan dakwah dan tarbiyah ini.
Istiqamah – Ia sukar?
Wahai sahabat ikhwah sekalian, ayuh kita bangkitkan syuur kita untuk mempersiapkan diri untuk sentiasa istiqamah pada jalan dakwah dan tarbiyah. Jalan yang akan membersihkan diri kita dan memelihara kesolehan hati serta kejernihan niat kita kepada Allah SWT. Jadikan kehidupan ini sebagai kehidupan untuk mencari keredhaan Allah SWT.
Hidup ini bagaikan satu pelayaran yang sukar. Bersabarlah kerana sabar itu indah, sabar adalah bunga-bungaan dari keimanan yang benar. Harumannya ialah kepasrahan iaitu memandang baik segala keputusan, ketentuan dan ketetapan Allah SWT disamping meyakini hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Kelopak-kelopaknya diwarnai ketabahan, ketenangan, keteguhan jiwa sebagai lambang kepuasan dengan qadar Allah SWT.
Marilah sahabat-sahabat yang budiman, kita bina keimanan yang benar kepada Allah SWT. Kuatkan pergantungan kepada Allah SWT.Keimanan yang benar menjadikan perjalanan kehidupan seperti sebuah kisah cinta; kesetiaan dan pengorbanan menukarkan ujian pahit menjadi kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung menjadi ringan, keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar, kerinduan padaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan.
Ayuh Pemuda, kita bangkitkan Ruh kita! Ruh untuk mendidik dan berbakti kepada Manusia. Usah kecewa dan kesal dengan karenah manusia. Bersabarlah.Kerana Buah kesabaranmu itu adalah kejayaan yang sebenarnya disisi Allah SWT.
Nasihat Terakhir
Aku masih ingat pada 15 Februari 2010, ketika aku bersama Dr Abdullah Sudin Ab Rahman dengan beberapa orang sahabat diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menziarahi UDMZ sebelum beliau kembali ke rahmatullah, alhamdulillah ketika itu UDMZ kelihatan ceria dan semakin sihat. Ustaz sempat berkongsi syuur dan memberi kami nasihat sebagai bekalan dakwah. Teringat kata Ustaz :
“ Ana dah bazirkan banyak masa muda ana dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Pada umur 31 Tahun baru ana dapat kesedaran Islam. Antum patut bersyukur kerana umur semuda ini sudah diberi taufiq dan kesedaran oleh Allah SWT.”
Kata-katanya masih segar dalam ingatanku ini. Usiaku, masaku, kudratku dan segala tenagaku benar-benar banyak dibazirkan.
------
BroHamzah
Medan Menulis Tidak Sama Dengan Medan Bercakap
Medan Bercakap Tidak Serupa Dengan Medan Beramal
Medan Beramal Tidak Sama Dengan Medan Berjihad
Berjihad Di Medan Yang Sebenar!